Monday, June 30, 2008

Soal Jawab Isu Semasa

S: Kenapa kerajaan membayar rebet cukai jalan melalui Pos Malaysia dan kenapa tidak melalui bank-bank yang telah sedia ada di Malaysia atau JPJ sendiri?
J: Kerajaan membayar rebet sebanyak RM 625.00 kepada setiap kenderaan yang mempunyai kurang dari 2000 cc dan motosikal sebanyak RM150.00 melalui Pos Malaysia kerana Pos Malaysia mempunyai jaringan komputer yang dihubung terus dengan JPJ, yang mana ia memudahkan masyarakat untuk menyemak status mereka. Selain itu, Pos Malaysia mempunyai cawangan di seluruh pelusuk ceruk tanah air, ini berbeza dengan Bank-Bank komersial yang lain, yang hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.
Masalah lain yang wujud adalah, bagi bank-bank komersial, mereka mengenakan bayaran pengurusan yang mana sudah tentu akan mengurangkan apa yang sepatutnya diperolehi oleh pengguna. Kerajaan juga boleh memilih untuk memberi tanggungjawab tersebut kepada para pegawai JPJ untuk menguruskan rebet tersebut, tetapi apabila dilihat peranan JPJ yang sudah sedia maklum mempunyai tugas yang banyak dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian maka tanggungjawab ini diserahkan kepada Pos Malaysia. Jika kerajaan berkeras untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada JPJ, maka JPJ terpaksa menyediakan counter baru, pegawai petugas baru, komputer baru, ruang pejabat baru, jawatan baru, kursus dan latihan kakitangan baru dan lain-lain keperluan yang mana akan menaikan kos pengurusan kerajaan (yang sepatutnya dikurangkan) dan jika ini berlaku maka, ia akan memakan masa yang panjang. Jika pemberian rebet ini tidak lagi dilaksanakan kerana penurunan harga minyak di pasaran antarabangsa, maka ke manakah para pekerja yang telah dilatih ini akan ditempatkan? sudah tentu pembaziran akan berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, kerajaan telah bertindak bijak memilih Pos Malaysia untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Kerajaan telah melihat permasalahan ini setelitinya sebelum ia dilaksanakan terutamanya dari segi hubungan yang sedia ada antara Pos Malaysia dan JPJ, kemampuan Pos Malaysia dari segi sistem penyampaian, infrastruktur, kakitangan, kemahiran pengurusan dan pengendalian jumlah wang yang banyak itu, maka Pos Malaysia adalah yang terbaik dan bukan kerana KJ (menantu Pak Lah) ada share dalam Pos Malaysia.Pada Kerajaan, keselesaan dan kemudahan masyarakat adalah yang paling diutamakan.

Tuesday, June 17, 2008

Soal Jawap Isu Semasa

S : Kenapa kerajaan menaikan harga minyak secara mengejud atau mendadak sedangkan kerajaan telah membayangkan kenaikan harga minyak akan di umumkan pada Ogos 2008?
J : Kerajaan perlu menaikan harga minyak pada masa ini kerana kadar kenaikan tersebut (iaitu sebanyak RM0.78) adalah berasaskan kepada harga minyak mentah semasa di pasaran dunia sebanyak USD 130.00 se tong. Jika kerajaan menunggu sehingga Ogos 2008 untuk menentukan harga minyak di pasaran tempatan maka kemungkinan kenaikan harga tersebut akan lebih tinggi. Menurut jangkaan penganalisis pasaran, harga minyak mentah akan naik sehingga USD 250.00 se tong dan mungkin lebih tinggi pada akhir tahun ini, maka secara relatifnya kerajaan terpaksa menaikan harga minyak petrol di pasaran tempatan lebih dari RM 0.78 seliter. Kenaikan tersebut sudah tentunya akan lebih menyusahkan rakyat dan menyebabkan kadar inflasi yang lebih tinggi. Kerajaan telah melaksanakan kajian yang terperinci berkenaan kadar yang sesuai dan berpatutan yang sanggup ditanggung oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan keputusannya adalah sebanyak RM0.78 seliter bagi petrol dan RM 1.00 seliter bagi disel. Oleh itu, kenaikan harga minyak dapat dinaikan secara berperingkat dan berkadaran dengan kemampuan rakyat Malaysia dan tidak secara mendadak jika diumumkan pada bulan Ogos nanti yang mungkin pada masa tersebut harga minyak dipasaran tempatan berharga RM4.50 seliter. Sudah tentunya akan ada yang membakar kereta dan lori kerana kenaikan tersebut melebihi 100 % dari harga asal (RM 1.92 seliter). Jika perkara ini berlaku, maka kerajaan jugalah yang akan dipersalahkan dan dikatakan tidak prihatin dengan kepayahan dan keupayaan masyarakat menerima tekanan kadar tersebut.

Wednesday, June 11, 2008

MALAYSIA PERLU BERALIH KEPADA EKONOMI "BEBAS" MINYAK

Oleh MUHAMMAD IZZUDDIN SYAKIR ISHAK

Dijangkakan harga minyak akan melonjak ke paras lebih AS$250 setong tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak khususnya kerajaan. Pertambahan penduduk, peningkatan keselesaan dan gaya hidup serta aktiviti perindustrian merupakan antara faktor yang menyebabkan permintaan terhadap tenaga khususnya minyak terus meningkat.

Ketagihan terhadap penggunaan minyak dewasa ini menambah lagi keluh kesah manusia terhadap isu yang sedang hangat ini. Mana tidaknya, boleh dikatakan hampir semua aktiviti harian manusia melibatkan penggunaan minyak. Sehingga ada sesetengah pihak seperti pengusaha bas yang tidak bertanggungjawab pun telah mengambil kesempatan untuk menaikkan tambang bas atas dasar harga minyak melonjak.

Akhirnya apabila keadaan sebegini berleluasa tanpa pihak berkuasa mempertingkatkan operasi penguatkuasaan, semestinya keseluruhan impak kenaikan harga minyak akan ditanggung oleh pengguna. Tujuan asal menaiki kenderaan awam adalah untuk mengurangkan perbelanjaan minyak, sebaliknya menjadi masalah apabila segelintir lintah darat memeras wang pengguna.

Penggunaan minyak seolah-olah tidak boleh dielakkan lagi pada tahun 2006, Peter Tertzakian, Ketua Penganalisis Ekonomi Tenaga ARC Financial Corporation, melaporkan bahawa, penggunaan minyak global telah mencecah 86 juta tong sehari bersamaan hampir seribu tong sesaat.

Jika merujuk Statistical Review of World Energy yang dikeluarkan oleh British Petroleum, penggunaan minyak di Malaysia juga menunjukkan peningkatan sehingga 499 ribu tong sehari pada tahun 2006 dan dijangka penggunaan minyak Malaysia akan terus meningkat dari tahun demi tahun jika masyarakat masih mengekalkan status quo gaya hidup serta paradigma pembangunan yang tidak mapan.

Sesungguhnya, trend penggunaan tenaga secara global ketika ini memang membimbangkan, kerana lebih 50 peratus bekalan tenaga dihasilkan daripada sumber berasaskan petroleum, dijangka akan habis dalam tempoh tidak sampai 50 tahun lagi.

AlternatifJusteru suatu tindakan perlu dilakukan supaya krisis penggunaan tenaga dapat dielakkan pada masa akan datang. Walaupun Malaysia telah melangkah setapak ke hadapan menerusi pembangunan tenaga hidro (Strategi Empat Bahan Api, 1981), inisiatif tenaga alternatif seperti teknologi tenaga biojisim perlu dipergiatkan secara serius di negara ini.

Penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui bukanlah perkara baru di Malaysia, misalnya pada tahun 1992, Dr. Baharudin Yatim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menganggarkan bahawa hampir 12 peratus dari jumlah tenaga yang digunakan negara adalah berpunca daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui, terutamanya biojisim.

Sebahagian besar dari penggunaan biojisim adalah dalam industri kelapa sawit. Misalnya pada Oktober 2006, Felda Holding Berhad (FHB) telah melakukan inisiatif ke arah usaha memanfaatkan tenaga biojisim dengan melaburkan sebanyak RM38 juta untuk projek loji biojisim yang berkemampuan menjana tenaga elektrik sebanyak 7.2 MW daripada sumber tandan kosong kelapa sawit.

Bukan sekadar itu, FHB juga sedang berikhtiar untuk menggantikan bahan bakar diesel kepada sumber tenaga stim untuk penjanaan elektrik bagi operasi pengeluaran minyak sawitnya menerusi penggunaan tandan kosong kelapa sawit sebagai bahan bakar. Projek ini dikatakan mampu memberi penjimatan sebanyak 75 peratus kos penjanaan elektrik. Bukan hanya murah, malahan ia merupakan teknologi mesra alam.

Hal ini terbukti apabila loji biojisim ini diiktiraf sebagai Clean Development Mechanism di bawah Kyoto Protocol yang membolehkan ia berhak memperoleh Certified Emission Reduction (CERs) sebanyak 53000 unit yang menjana pendapatan pasif sebanyak RM1.2 juta setahun melalui penjualan unit-unit tersebut.

Dalam sektor industri, dapat dilihat bahawa telah banyak inisiatif dilakukan untuk menyerap impak kenaikan harga minyak serta penjagaan alam sekitar seperti utilisasi sisa industri sebagai sumber tenaga biojisim.

Bagaimanapun, inisiatif mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil perlu juga dilihat kepada potensi sisa pepejal domestik sebagai sumber tenaga alternatif kepada masyarakat.

Isu kenaikan harga minyak membuka mata kita untuk melihat fenomena ini secara lebih terbuka. Ada baiknya kita belajar daripada negara-negara membangun seperti Sweden tentang bagaimana mereka menguruskan kelangsungan hidup (survival) ke arah ekonomi bebas minyak.

Dengan memanfaatkan kekuatan dan peluang yang ada, melalui penumpuan terhadap kepelbagaian tenaga boleh diperbaharui seperti nuklear dan hidro bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak sebagai bahan bakar untuk penghasilan elektrik, Sweden dikatakan lebih bersedia menghadapi krisis kenaikan harga minyak global kerana sejak tahun 1980 lagi mereka telah pun mengurangkan penggunaan minyak iaitu daripada 498 ribu tong sehari kepada 312 ribu tong sehari pada tahun 2006.

Kini Sweden mempergiatkan lagi usaha ke arah ekonomi bebas minyak dengan menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar itu dalam sektor industri (25-40 peratus), pengangkutan (40-50 peratus) serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga sebanyak 20 peratus.

Sesungguhnya Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu pembangunannya ke arah ekonomi bebas minyak. Menukar sisa pepejal kepada tenaga merupakan salah satu potensi yang sangat besar di samping memenuhi ciri kelestarian melalui pengurusan sisa pepejal secara integrasi.

Cuma kekuatan-kekuatan ini harus dinilai secara substantif agar dapat menghasilkan suatu struktur penyelesaian yang konkrit dalam mendepani krisis tenaga yang semakin kritikal dengan cara yang lebih berhemah dan mapan.

Sumber: UTUSAN

Tuesday, June 10, 2008

IKS Pemacu Ekonomi Negara

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan terdapat banyak insentif dalam bentuk pakej rangsangan daripada kerajaan menanti Industri kecil dan sederhana (IKS) . Perkara ini akan diumumkan oleh kerajaan sedikit masa lagi.

Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan sedang mengkaji insentif-insentif fiskal dan bukan fiskal seperti pengurangan tarif atau pengurangan duti bagi barangan import yang dapat membantu IKS bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa . Diharapkan insentif berkenaan akan memberi faedah tambahan kepada usahawan-usahawan IKS dan mendorong mereka untuk mengembangkan skala perniagaan mereka.

Sebelum daripada itu, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta untuk membantu IKS. Kementerian juga, telah memohon lebih banyak peruntukan bagi memberi pinjaman kepada IKS dalam semua sektor.
Muhyiddin berkata antara harapan beliau ialah melihat Malaysia menjadi pusat perdagangan dunia atau serantau, bukan setakat untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh kilang di Malaysia tetapi memperdagangkan produk dari luar negara dengan negara ketiga.
Sebagai contoh, Singapura, Hong Kong dan negara-negara lain yang kecil dan tidak mempunyai sumber bahan mentah sendiri telah berjaya menguasai pasaran antarabangsa dan nilai dagangan yang mereka perolehi adalah sangat besar sehinggakan mereka digelar “dragon countries”.

Beliau berkata cabaran yang dihadapi bukan setakat mengekalkan tahap kemajuan yang telah dicapai dalam bidang perdagangan, tetapi menjadikan Malaysia lebih hebat lagi walaupun dalam krisis kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Petisyen DUN Sanglang

18 Jun tentu menang atau pilihanraya semula
Mahkamah pilihan raya yang bersidang pada 5 Jun 2008 telah menetapkan tarikh 18 Jun untuk memberikan keputusan petisyen Dun N.15 Sanglang.
Mahkamah mendengar penghujahan dari semua pihak terbabit berkaitan kuasa mahkamah untuk memutuskan sama ada pempetisyen, Ustaz Hashim Jasin akan diisytiharkan sebagai pemenang atau diadakan pilihanraya semula.

Setelah mendengar penghujahan dari peguam yang mewakili pempetisyen dan responden, hakim pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan tarikh berkenaan untuk beliau memberikan keputusan.

Petisyen ini dikemukakan oleh Ustaz Hashim selaku calon PAS yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut tetapi diisytiharkan kalah kepada calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Pihak responden pertama(Abdullah) telah mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen tersebut minggu lalu di mana mahkamah telah mendengar penghujahan dari peguam beliau, Jega Karuppiah dan penghujahan balas dari Mohamed Hanipa Maidin, peguam yang mewakili Ustaz Hashim.

Manakala Timbalan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Dato' Kamaluddin Md Said yang mewakili Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden pertama dan kedua telah mengaku berlakunya kesilapan dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) 8 Mac lalu.

Semalam, Jega sendiri turut mengakui berlakunya kesilapan tersebut. Maka petisyen ini tidak diteruskan dengan perbicaraan.

Selain Mohamed Hanipa, seorang lagi peguam yang mewakili Ustaz Hashim, Mohd Shariff Mohd Yusuff turut memberikan penghujahan.

Antara lain hujah yang disebutkan hari ini adalah berkaitan dengan calon yang mendapat undi yang terbanyak sepatutnya diisytiharkan pemenang dan kuasa mahkamah yang sedia untuk memberikan keadilan.

Jega pula kemudiannya membangkitkan tentang tiadanya peruntukan kuasa mahkamah pilihanraya untuk mengisytiharkan pemenang dalam kes ini selepas pilihanraya dan mengadakan pilihanraya semula.
Sementara itu, Kamaluddin pula membangkitkan tentang situasi yang sama berlaku di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 2004 (Che Min Che Mat lawan Kalthom Othman) di mana PAS secara "gentleman agreement" untuk menyerahkan semula kerusi tersebut kepada BN.

Begitulah politik; apabila dibicarakan di mahkmah...