Tuesday, June 10, 2008

IKS Pemacu Ekonomi Negara

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan terdapat banyak insentif dalam bentuk pakej rangsangan daripada kerajaan menanti Industri kecil dan sederhana (IKS) . Perkara ini akan diumumkan oleh kerajaan sedikit masa lagi.

Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan sedang mengkaji insentif-insentif fiskal dan bukan fiskal seperti pengurangan tarif atau pengurangan duti bagi barangan import yang dapat membantu IKS bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa . Diharapkan insentif berkenaan akan memberi faedah tambahan kepada usahawan-usahawan IKS dan mendorong mereka untuk mengembangkan skala perniagaan mereka.

Sebelum daripada itu, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta untuk membantu IKS. Kementerian juga, telah memohon lebih banyak peruntukan bagi memberi pinjaman kepada IKS dalam semua sektor.
Muhyiddin berkata antara harapan beliau ialah melihat Malaysia menjadi pusat perdagangan dunia atau serantau, bukan setakat untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh kilang di Malaysia tetapi memperdagangkan produk dari luar negara dengan negara ketiga.
Sebagai contoh, Singapura, Hong Kong dan negara-negara lain yang kecil dan tidak mempunyai sumber bahan mentah sendiri telah berjaya menguasai pasaran antarabangsa dan nilai dagangan yang mereka perolehi adalah sangat besar sehinggakan mereka digelar “dragon countries”.

Beliau berkata cabaran yang dihadapi bukan setakat mengekalkan tahap kemajuan yang telah dicapai dalam bidang perdagangan, tetapi menjadikan Malaysia lebih hebat lagi walaupun dalam krisis kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

No comments: