Wednesday, June 11, 2008

MALAYSIA PERLU BERALIH KEPADA EKONOMI "BEBAS" MINYAK

Oleh MUHAMMAD IZZUDDIN SYAKIR ISHAK

Dijangkakan harga minyak akan melonjak ke paras lebih AS$250 setong tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak khususnya kerajaan. Pertambahan penduduk, peningkatan keselesaan dan gaya hidup serta aktiviti perindustrian merupakan antara faktor yang menyebabkan permintaan terhadap tenaga khususnya minyak terus meningkat.

Ketagihan terhadap penggunaan minyak dewasa ini menambah lagi keluh kesah manusia terhadap isu yang sedang hangat ini. Mana tidaknya, boleh dikatakan hampir semua aktiviti harian manusia melibatkan penggunaan minyak. Sehingga ada sesetengah pihak seperti pengusaha bas yang tidak bertanggungjawab pun telah mengambil kesempatan untuk menaikkan tambang bas atas dasar harga minyak melonjak.

Akhirnya apabila keadaan sebegini berleluasa tanpa pihak berkuasa mempertingkatkan operasi penguatkuasaan, semestinya keseluruhan impak kenaikan harga minyak akan ditanggung oleh pengguna. Tujuan asal menaiki kenderaan awam adalah untuk mengurangkan perbelanjaan minyak, sebaliknya menjadi masalah apabila segelintir lintah darat memeras wang pengguna.

Penggunaan minyak seolah-olah tidak boleh dielakkan lagi pada tahun 2006, Peter Tertzakian, Ketua Penganalisis Ekonomi Tenaga ARC Financial Corporation, melaporkan bahawa, penggunaan minyak global telah mencecah 86 juta tong sehari bersamaan hampir seribu tong sesaat.

Jika merujuk Statistical Review of World Energy yang dikeluarkan oleh British Petroleum, penggunaan minyak di Malaysia juga menunjukkan peningkatan sehingga 499 ribu tong sehari pada tahun 2006 dan dijangka penggunaan minyak Malaysia akan terus meningkat dari tahun demi tahun jika masyarakat masih mengekalkan status quo gaya hidup serta paradigma pembangunan yang tidak mapan.

Sesungguhnya, trend penggunaan tenaga secara global ketika ini memang membimbangkan, kerana lebih 50 peratus bekalan tenaga dihasilkan daripada sumber berasaskan petroleum, dijangka akan habis dalam tempoh tidak sampai 50 tahun lagi.

AlternatifJusteru suatu tindakan perlu dilakukan supaya krisis penggunaan tenaga dapat dielakkan pada masa akan datang. Walaupun Malaysia telah melangkah setapak ke hadapan menerusi pembangunan tenaga hidro (Strategi Empat Bahan Api, 1981), inisiatif tenaga alternatif seperti teknologi tenaga biojisim perlu dipergiatkan secara serius di negara ini.

Penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui bukanlah perkara baru di Malaysia, misalnya pada tahun 1992, Dr. Baharudin Yatim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menganggarkan bahawa hampir 12 peratus dari jumlah tenaga yang digunakan negara adalah berpunca daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui, terutamanya biojisim.

Sebahagian besar dari penggunaan biojisim adalah dalam industri kelapa sawit. Misalnya pada Oktober 2006, Felda Holding Berhad (FHB) telah melakukan inisiatif ke arah usaha memanfaatkan tenaga biojisim dengan melaburkan sebanyak RM38 juta untuk projek loji biojisim yang berkemampuan menjana tenaga elektrik sebanyak 7.2 MW daripada sumber tandan kosong kelapa sawit.

Bukan sekadar itu, FHB juga sedang berikhtiar untuk menggantikan bahan bakar diesel kepada sumber tenaga stim untuk penjanaan elektrik bagi operasi pengeluaran minyak sawitnya menerusi penggunaan tandan kosong kelapa sawit sebagai bahan bakar. Projek ini dikatakan mampu memberi penjimatan sebanyak 75 peratus kos penjanaan elektrik. Bukan hanya murah, malahan ia merupakan teknologi mesra alam.

Hal ini terbukti apabila loji biojisim ini diiktiraf sebagai Clean Development Mechanism di bawah Kyoto Protocol yang membolehkan ia berhak memperoleh Certified Emission Reduction (CERs) sebanyak 53000 unit yang menjana pendapatan pasif sebanyak RM1.2 juta setahun melalui penjualan unit-unit tersebut.

Dalam sektor industri, dapat dilihat bahawa telah banyak inisiatif dilakukan untuk menyerap impak kenaikan harga minyak serta penjagaan alam sekitar seperti utilisasi sisa industri sebagai sumber tenaga biojisim.

Bagaimanapun, inisiatif mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil perlu juga dilihat kepada potensi sisa pepejal domestik sebagai sumber tenaga alternatif kepada masyarakat.

Isu kenaikan harga minyak membuka mata kita untuk melihat fenomena ini secara lebih terbuka. Ada baiknya kita belajar daripada negara-negara membangun seperti Sweden tentang bagaimana mereka menguruskan kelangsungan hidup (survival) ke arah ekonomi bebas minyak.

Dengan memanfaatkan kekuatan dan peluang yang ada, melalui penumpuan terhadap kepelbagaian tenaga boleh diperbaharui seperti nuklear dan hidro bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak sebagai bahan bakar untuk penghasilan elektrik, Sweden dikatakan lebih bersedia menghadapi krisis kenaikan harga minyak global kerana sejak tahun 1980 lagi mereka telah pun mengurangkan penggunaan minyak iaitu daripada 498 ribu tong sehari kepada 312 ribu tong sehari pada tahun 2006.

Kini Sweden mempergiatkan lagi usaha ke arah ekonomi bebas minyak dengan menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar itu dalam sektor industri (25-40 peratus), pengangkutan (40-50 peratus) serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga sebanyak 20 peratus.

Sesungguhnya Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu pembangunannya ke arah ekonomi bebas minyak. Menukar sisa pepejal kepada tenaga merupakan salah satu potensi yang sangat besar di samping memenuhi ciri kelestarian melalui pengurusan sisa pepejal secara integrasi.

Cuma kekuatan-kekuatan ini harus dinilai secara substantif agar dapat menghasilkan suatu struktur penyelesaian yang konkrit dalam mendepani krisis tenaga yang semakin kritikal dengan cara yang lebih berhemah dan mapan.

Sumber: UTUSAN

No comments: